CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sunday, November 01, 2009


KENAKAN BAYARAN CUKAI PERKHIDMATAN RM50 TERHADAP KAD KREDIT?

Ketika minum kopi pagi tadi, rakan saya meluahkan rasa tidak setujunya tentang tindakan kerajaan untuk mengenakan bayaran cukai sebanyak RM50 kepada setiap kad yang dimiliki oleh rakyat di negara ini. Mukanya begitu merah padam lambang kemarahan yang menyala akan tindakan kerajaan yang dianggapnya tidak logik itu. Lalu saya segera bertanya kepadanya apakh sebab-sebab yang dia berasa tidak logik itu?
Pertama, tindakan kerajaan mengenakan cukai itu bertujuan untuk menghalang perbelanjaan masyarakat agar tidak keterlaluan tetapi ada banyak cara yang padanya boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini seperti mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi terhadap tunggakan bayaran atau mengenakan syarat pemilikan kad kredit yang lebih ketat berbanding sekarang. Apabila saya memikirkannya betul juga kata-kata rakan saya itu kerana saya dapati sekarang ini sesiapa sahaja yang baru bekerja sudah mampu melayangkan kad kredit mereka di pusat beli-belah. Mungkin kerajaan perlu melihat cadangan rakan saya yang hanya bekerja sebagai kerani am di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Kalau kita lihat kini hampir sesiapa sahaja yang sudah bekerja layak memohon kad kredit. Bukankah lebih praktikal syarat umur atau tempoh lama bekerja selain tangga gaji dijadikan ukuran asas kepada mereka yang ingin memiliki kad kredit. Ini semua boleh memilikinya walaupun baru sebulan dua mendapat kerja selepas tamat sekolah atau universiti. Bukankah tempoh tertentu yang diberikan memberi sedikit gambaran kepada individu sama ada mereka layak untuk memiliki kad kredit atau tidak?
Rakan saya ini memiliki lima kad kredit. Namun dia seorang yang bijak berbelanja. Kenapa dia memiliki lima kad? Mudah sahaja. Satu kad khas untuk bayaran minyak keretanya. Satu lagi khas untuk pembelian bayaran ansuran produk tertentu. Satu lagi khas untuk pembelian secara online di internet manakala dua kad lagi menjadi kad perbelanjaan jika kecemasan. Cara pembahagian begini menurut rakan saya mengurangkan risiko kad kreditnya disalahgunakan oleh sesetengah pihak kerana hanya pembelian tertentu sahaja yang dilakukannya lalu mudah untuk mengesan sebarang penipuan. Sekarang, bayangkan jumlah cukai yang perlu dibayarnya jika kerajaan terus berdegil mengenakan cukai sebanyak RM50 untuk setiap kad?

Bagaimana pula dengan tenaga kerja yang terbabit dalam industri kad kredit ini? Saya yakin jumlahnya boleh tahan lalu sebarang usaha mengenakan cukai sebegini pasti akan menyebabkan agak ramai juga yang akan menganggur. Sudah pasti impaknya lebih besar jika diambil kira jumlah ahli keluarga mereka pula.

Niat kerajaan memang murni tetapi usaha untuk mengawal perbelanjaan rakyat boleh dilakukan dalam pelbagai aspek. Mungkin pengenaan cukai kad kredit sebegini tidak logik dan hanya merugikan pengguna terutama pengguna yang berhemat perbelanjaannya. Kelebihan kad kredit ialah kad ini tidak memerlukan seseorang itu membawa wang tunai yang banyak. Atau mungkin kita lebih suka kegiatan Ah Long berterusan?

Thursday, October 29, 2009


INOVASI KUNCI MASA DEPAN NEGARA

Ucapan yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa inovasi merupakan satu komponen penting dalam perkembangan negara dalam arus perdana globalisasi menjadi satu ungkapan yang tepat ketika ini. Namun, dalam kita ghairah memproses kenyataannya itu, ada banyak persoalan yang seolah-olah menjadikan kenyataan itu hanyalah kenyataan berbaur politik belaka.

Kenapa saya beranggapan demikian? Pertama, kita lihat sahaja prospek siswazah yang mendapat pendidikan dalam pelbagai bidang terutama bioteknologi atau teknologi maklumat, berapa keratkah antara mereka itu yang menjalankan proses inovasi dalam pekerjaan mereka? Saya begitu yakin hanya segelintir sahaja dan itu pun secara tidak meluas lantaran kekurangan pelbagai aspek fizikal dan kemahiran lain pula.

Dalam usaha untuk meninggikan tahap inovasi, seseorang itu perlulah mempunyai rakan-rakan yang turut sama terlibat dalam bidang inovasi kerana sesuatu inovasi itu banyak dipengaruhi oleh suasana perbahasan yang wujud antara individu sebegini. Tindakan saling bertukar-tukar maklumat atau nota menjadikan kesedaran inovasi itu begitu tinggi di sesebuah negara. Kejayaan sesuatu inovasi itu pasti memberi satu peluang kepada bentuk inovasi yang lain pula untuk turut mekar dalam masa yang serupa. Persoalannya, berapa ramai individu yang terbabit dalam proses inovasi dan berapa kerap persidangan atau wujudnya suasana iklim yang menjana perkembangan minda mereka yang berusaha kea rah inovasi ini di negara ini?

Untuk menjayakan aspek inovasi di negara ini, kita harus bersedia melakukan perubahan drastic. Sistem pendidikan perlu dirombak terutama cara pemberian markah berdasarkan peperiksaan semata-mata, begitu juga dengan kemudahan geran-geran untuk penyelidikan perlulah diperluas dan dipermudahkan serta lebih banyak seminar bertaraf dunia diadakan di negara ini tanpa mengenakan sebarang syarat kepada orang luar untuk mempamerkan ilmu atau kelebihan mereka jika mereka memang yang terbaik di dunia.

Sebanranya, bidang inovasi bukanlah sesuatu yang dipandang tinggi oleh masyarakat kita. Inovasi sering dikaitkan dengan kemampuan kreativiti seseorang itu dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang melanda kehidupan mereka. Lantaran kreativiti tidak diberi perhatian tinggi maka kuranglah inovasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita pula. Lihat sahaja pelajar yang cuba melakukan sesuatu yang unik sudah pasti akan ditegur oleh guru terutama kalau tindakan itu tidak wujud dalam skema pemarkahan mereka. Ini kekangan besar dalam usaha untuk memajukan skop inovasi dalam negara ini. Kekangan minda ini harus dibuang dengan menerima kreativiti seseorang sebagai sesuatu yang positif dan bukannya memusnahkan.

Sekali lagi, kita hanya bijak bersuara tanpa ada sebarang tindakan susulan kerana kebanyakan pemimpin kita sememangnya pemimpin yang baik tetapi bukanlah pemimpin yang kuat dan berani untuk membuat perubahan drastic. Pemimpin kita bimbang sebarang tindakan berani mereka akan menyebabkan hari-hari mereka menjadi pemimpin akan mudah untuk dihitung pula.

Monday, October 12, 2009


MCA TERUS BERGOLAK KECUALI ONG KEKAL?

Mesyuarat agung tergempar MCA yang baru sahaja tamat itu sememangnya gagal menyelesaikan kemelut kepemimpinan dalam parti komponen BN itu. Malah lebih tepat kalau di katakan bahawa mesyuarat itu telah menambahkan lagi polemik politik yang melanda MCA untuk menjadi sesuatu yang begitu melarut-larut impaknya. MCA kini mula dipandang rendah oleh parti-parti lain di negara ini kerana parti itu tidak mempunyai pemimpin yang mendapat sokongan padu ahlinya sendiri.

Datuk Seri Ong Tee Keat dilihat sebagai pemimpin yang berani meluahkan pendapatnya tanpa perlu berbincang tentang impaknya. Beliau memang begitu sehingga sanggup mengorbankan jawatannya sebagai Presiden MCA jika gagal mendapat sokongan padu dalam mesyuarat itu dan sememangnya beliau tidak diberi sokongan padu. Mungkin Ong tersilap membuat perkiraan tentang perasaan ahli-ahli MCA terhadap isu yang berlaku antara beliau dengan Datuk Dr. Chua Soi Lek itu. Kelantangan beliau bersuara juga mungkin memberikan pandangan bahawa beliau seorang pemimpin yang agak keras tetapi bukankah usaha membanteras rasuah memerlukan pemimpin yang sebegitu? Lantang bersuara tetapi penuh dengan bukti.

Jika Ong masih berpegang kepada janjinya sebelum mesyuarat agung tergempar itu maka MCA pasti akan mengalami krisis kepemimpinan yang serius kerana kebanyakan pemimpin yang ada sekarang bolehlah dikatakan baru sahaja memulakan kerjaya mereka dalam dunia politik yang serba mengelirukan itu. Barisan pemimpin MCA yang muda-muda itu pastinya mudah sahaja untuk diratah oleh pemimpin parti lain terutama UMNO atau Gerakan atau DAP yang sememangnya bijak dalam memainkan permainan politik mereka. Siapakah pemimpin MCA sekarang yang mampu untuk berdiri sama tinggi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak atau mungkin dengan Datuk Seri Samy Vellu dalam aspek pengalaman dan kemahiran berpolitik mereka? Siapa? Tiada kerana semuanya masih muda belaka untuk dunia politik yang memerlukan pengalaman bertahun-tahun untuk menjadikan diri seseorang itu matang.

Atas dasar itulah, penulis yakin Ong harus memikirkan semula janjinya itu. Bukan bermakna beliau pemimpin yang tidak menepati janji apabila berbuat janji tetapi MCA memerlukan beliau dalam masa krisis ini. Ong harus meneruskan tempoh perkhidmatannya sehinggalah satu proses pemilihan pemimpin yang lebih aman dan rasional mampu dilaksanakan oleh MCA kerana jika semuanya tindakan dilakukan dalam keadaan terburu-buru atau berunsur emosi pastinya MCA dan masyarakat cina di negara ini yang akan menerima impaknya. Latih dan sediakan pelan peralihan kuasa yang lebih jelas dan adil secepat mungkin sebelum beliau mengundurkan dirinya secara terhormat.

Masih banyak ahli politik yang tidak mengotakan janji-janji mereka tetapi masih berpegang kepada jawatan mereka malah terus membuat janji baru pula. Jadi, apa bezanya dengan Ong?


BINA LRT BIAR BETUL…

Penulis mengaku diri ini tidak memiliki kemahiran dalam bidang perancangan bandar atau pembinaan keretapi. Diri ini hanya mempunyai pengalaman hidup yang hampir mencecah separuh abad sahaja menggunakan lrt. Dengan pengalaman itulah, penulis cuba mengetengahkan bahawa isu pembinaan lrt di negara ini harus berpaksikan beberapa skop penting yakni keperluan pengguna dan bukannya keperluan syarikat.

Penulis rasa sudah lebih sebulan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memanjangkan atau menambahkan lagi jumlah landasan serta stesen lrt di negara ini. Tindakan ini bukan sahaja menceriakan rakyat tetapi turut memberikan sedikit sinar kepada syarikat-syarikat pembinaan di negara ini untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Dalam keghairahan inilah, penulis bimbang pengguna akan ketinggalan lalu mereka yang menerima kesannya.

Maksud penulis ketinggalan ialah pembinaan stesen lrt hendaklah memberi keutamaan kepada pengguna dan bukannya dibina dikawasan yang pada pandangan syarikat mampu mengurangkan kos pembinaan dengan harapan kawasan itu akan pesat membangun dalam masa sepuluh atau 15 tahun akan datang. Lrt harus dibina di kawasan yang padat penduduknya demi untuk memastikan kurangnya penggunaan kenderaan pada masa yang sama. Lihat sahaja pembinaan beberapa stesen lrt yang sedia ada kini, memang ada stesen yang tidak digunakan semaksimun mungkin kerana jumlah penggunanya begitu sedikit lantaran tiada penilaian atau kajian yang menyeluruh tentang keperluan penduduk di sesuatu kawasan tersebut.

Semua pembinaan lrt hendaklah memberi tumpuan kepada kawasan yang menjadi tumpuan ramai. Antaranya ialah kawasan yang padat penduduk dengan jumlah rumah baik rumah flat, pangsapuri, teres dan sebagainya. Begitu juga kawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti pusat beli-belah, sekolah dan pejabat yang pasti memberikan kelebihan daripada segi jumlah pengguna lrt itu kelak. Kaji kawasan padat penduduk ini dan lihat corak perjalanan penduduk di kawasan itu lalu mudahlah kepada pihak syarikat untuk memilih kawasan tepat untuk pembinaan stesen lrt itu.

Penulis masih percaya bahawa jenis pengangkutan awam terbaik untuk tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang ini ialah pengangkutan berasaskan landasan atau rel dan lrt merupakan antara pelaburan sistem pengangkutan awam terbaik harus dilaksanakan oleh kerajaan. Lihat sahaja kota-kota besar dunia yang sudah melaburkan berjuta-juta untuk memajukan sistem LRT mereka. Cuma dalam membuat perancangan itu kita semua harus mengambil kira keperluan masyarakat terlebih dahulu yakni lrt dibina untuk memberikan keselesaan kepada rakyat dan bukannya kepada syarikat mengaut keuntungan dengan mudah.


KENAPA ISA MENANG?

Pagi-pagi lagi kawan saya sudah mula menelefon saya. Katanya hendak belanja saya makan. Saya terkejut kerana selama ini saya yang selalu belanja dia makan dan tiba-tiba kali ini dia pula beria-ia hendak belanja saya. Janji di buat dan kami bertemu di sebuah kedai kopi yang semakin meningkat naik imejnya di Kuala Lumpur ini.

Sebaik saja bertemu saya mula sedar tujuan utamanya mengajak saya sarapan itu bukannya untuk berbual kosong tetapi untuk mendengar komen saya tentang kemenangan Tan Sri Isa Abdul Samad di Bagan Pinang itu. Saya tersenyum sendirian kerana sebelum ini kawan saya bermati-matian mengatakan bahawa Isa akan tewas kerana beliau sebelum ini telah disabitkan dengan dakwaan politik wang oleh UMNO. Kawan itu sedar bahawa kini giliran saya untuk tersenyum panjang pula.

Sememangnya sejak dahulu lagi yakni apabila nama Isa dicalonkan saya sudah memberitahu kawan saya ini bahawa Isa pasti akan menang. Keyakinan saya itu sering dipandang rendah kerana mereka yakin UMNO terutama Datuk Seri Najib Tun Razak telah tersalah pilih. Pandangan mereka ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Dr.M yang mahu UMNO memilih calon BN yang bersih imejnya terutama pada mata masyarakat di kawasan tersebut. Jadi, kenapa Isa boleh menang malah menang dengan bergaya sekali? Jawapannya begitu mudah.

Dahulu ketika bekerja sebagai wartawan, saya pernah menghadiri satu majlis yang kebetulan turut dihadiri oleh Isa. Pandangan pertama saya ialah beliau seorang pemimpin yang pandai bercakap. Bukan berucap tetapi berbual terutama berbual dengan orang biasa. Cara beliau membuat lawak kadangkala mengalahkan mereka yang bekerja sebagai penghibur pula. Caranya bersahaja tetapi penuh makna yang pada saya sesuatu kemahiran penting buat seorang pemimpin. Kemahiran inilah yang membuatkan beliau berhubung dengan efektif penduduk kampung terutama sekali mereka yang tidak mempunyai pegangan teguh terhadap mana-mana parti.

Isa juga dikenali sebagai mereka yang berani menyuarakan pandangannya tentang sesuatu isu. Kalau kita perhatikan beliau berani memberitahu pendapatnya apabila ditanya oleh sesiapa pun baik wartawan mahupun penduduk kampung tentang pandangannya terhadap sesuatu isu yang melanda negara. Tindakan ini memberikan satu cerminan tentang dirinya yang amat penting buat pengundi era baru di negara ini. Pengundi sekarang mahukan pemimpin yang berani meletakkan masa depan kerjaya mereka dengan jelas yakni memberitahu pandangan mereka terhadap sesuatu isu itu. Bukannya seperti sesetengah pemimpin atau calon pilihanraya yang apabila ditanya tentang sesuatu isu sensitif akan mengeluarkan kenyataan NO KOMEN. Pengundi kini mahu mengetahui pendirian calon pilihanraya dalam sebarang isu baik berunsur sosial, politik, negeri, negara mahupun global.

Sebaik sahaja disabitkan kesalahannya atas dakwaan politik wang, beliau tidak melakukan sesuatu yang reaktif tindakannya. Sebaliknya beliau hanya mendiamkan diri atau menjauhkan imejnya daripada media massa dan politik semasa. Beliau tidak menyertai parti pembangkang atau menubuhkan parti baru. Jauh sekali membawa orang lain untuk keluar parti. Beliau juga tidak mengugut untuk mengeluarkan bahan-bahan yang boleh menjatuhkan pemimpin lain dalam UMNO dan sebagainya. Beliau menerima hukuman itu dengan sebaik mungkin. Pemimpin yang tidak matang ialah pemimpin yang sanggup lompat parti atau memburukkan imej partinya setelah berlaku sebarang perselisihan pendapat. Kita juga harus ingat bahawa beliau hanya disabitkan kesalahan politik wang oleh UMNO dan bukannya oleh pihak polis. Maknanya ini isu dalaman parti yang diuruskan oleh ahli-ahli parti itu mengikut peraturan parti yang unik dan kadangkala mengelirukan juga cara hukumann serta pengendalian buktinya.

Itulah hujah-hujah saya kepada kawan saya itu sambil menikmati kopi yang sememangnya kaw di situ. Kepala rakan itu hanya mengangguk-angguk mungkin juga tanda setuju atau menelan semula kritikan pedas yang dilemparkannya sebelum ini.

Mungkin pengajaran paling penting ialah semua manusia ada masa naik dan turunnya. Cara kita naik dan turun itu sahaja yang bakal menentukan pandangan masyarakat terhadap kita. Pada masa yang sama parti pembangkang mula kehilangan arah atau lebih tepat panduan untuk memikat hati pengundi di negara ini.

Thursday, September 17, 2009


KENAPA PLUS PERLU BERI LALUAN PERCUMA KETIKA RAYA INI?

Tindakan sesetengah pemegang konsesi lebuh raya di negara ini untuk memberikan laluan percuma kepada pengguna lebuh raya mereka seharusnya menjadi contoh teladan kepada PLUS untuk turut melakukan tindakan yang serupa. Jadi, kenapakah PLUS harus berbuat demikian atau lebih tepat mengapa PLUS perlu menunggu lagi sebelum membuat pengumuman?

Sebab yang ketara ialah sepanjang tahun PLUS telah mengaut keuntungan melalui penggunaan berulang kali menggunakan lebuh raya untuk memenuhi pelbagai keperluan kehidupan manusia baik daripada aspek sosial, perniagaan dan sebagainya. Keuntungan yang diperoleh sepanjang masa itu sudah pasti tidak banyak impaknya jika dibandingkan dengan PLUS memberikan satu laluan percuma selama sehari atau dua hari atau mengikut tempoh masa tertentu dalam beberapa hari kepada pengguna lebuh rayanya.

Tindakan memberikan laluan percuma ini menjadikan pengguna lebih mahu untuk merangka jadual perjalanan mereka memgikut masa yang tidak sibuk lalu memastikan kesesakan yang sebelum ini satu kebiasaan sudah lagi tidak akan berlaku. Masa laluan percuma mungkin diberikan pada hari raya pertama atau antara ketika tengah malam sebelum hari raya menjadikan lebih banyak pengguna menggunakan lebuh raya ketika itu pula.

Tindakan PLUS ini bukan sahaja mampu mengurangkan tekanan kesesakan lalu lintas malah memberikan lebih kurang tekanan kerja kepada pekerja PLUS dalam usaha untuk memberikan lebih keselesaan kepada pengguna kerana lebih ramai pengguna telah merangka perjalanan mereka lebih baik. Pekerja PLUS di semua hentian sudah pasti lebih mudah untuk melaksanakan tugas mereka membersihkan kawasan terutama tandas manakala rakan mereka di pondok tiket pula lebih mudah tersenyum sambil memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Bayangkan pula kelegaan di kawasan tempat meletak kereta.

Pada masa yang sama tindakan ini mampu meninggikan imej PLUS pada kaca mata masyarakat yang sudah pasti berpendapat PLUS telah mengaut keuntungan mudah selama ini. Masyarakat akan mula menyedari bahawa PLUS dalam ghairah mengaut keuntungan mereka juga berupaya untuk melakukan sesuatu yang mampu memenuhi keperluan emosi masyarakat kita.

Jelaslah, PLUS tidak perlu berfikir panjang tetapi terus sahaja membuat pengumuman untuk laluan percuma ini selama sehari atau beberapa jam atau mungkin untuk perjalanan sebelah malam kepada rakyat di negara ini. Mungkin PLUS harus melihat contoh pengendali lebuh raya di negara-negara luar seperti Taiwan dalam aspek kemanusiaan sebegini.

Wednesday, September 16, 2009


Malaysia Tubuh Pasukan F1

Hahaha apabila mengetahui hasrat Malaysia untuk menjadi pasukan F1 saya terus gembira. Bukan kerana kos untuk mewujudkan pasukan F1 begitu tinggi tetapi sedar inilah peluang buat rakyat negara ini untuk bersama-sama bersaing dengan masyarakat dunia. Ya, F1 memerlukan kemahiran teknikal yang begitu tinggi terutama dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam perlumbaan yang penuh persaingan ini.

Kewujudan pasukan F1 menjadikan golongan belia kita terutama pakar-pakar jurutera kereta mampu merealisasikan semua kemahiran amali dan teori mereka dengan sebaik mungkin. Perbezaan litar dan cuaca serta sebagainya menjadikan kerjaya dalam pasukan F1 sesuatu yang menjadi idaman semua pihak yang mahukan daya saing yang maksimum. Semakin tinggilah peluang negara untuk melahirkan lebih ramai jurutera yang berketerampilan tinggi dengan berpeluang untuk menikmati suasana perlumbaan yang sebegini tinggi kualitinya.

Bukan sahaja tenaga kerja tetapi aspek pengiklanan turut bakal menempoh era baru. Sudah pasti lebih banyak syarikat tempatan mampu untuk mengiklankan nama syarikat mereka dengan pasukan F1 itu. Pengiklanan sebegini memberikan satu pandangan yang positif akan kemampuan syarikat tempatan dalam meneroka perniagaan di luara negara pula.

Cuma, persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sejauh mana pasukan F1 ini akan menggunakan sumber dan tenaga kerjanya daripada negara ini. Bagaimana pula jika tenaga kerja yang ditawarkan itu tidak memenuhi syarat yang ditentukan sebaliknya dipilih semata-mata atas dasar mereka rakyat Malaysia. Keupayaan kita untuk memilih yang terbaiklah bakal menjadikan pasukan F1 ini berguna bukan sahaja buat masyarakat kita tetapi juga imej negara kelak.

Tuesday, September 01, 2009


KEMENANGAN PEMBANGKANG JEPUN SATU PERINGATAN BUAT BN


Kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) terhadap Parti Liberal Demokratik (LDP) membuktikan satu perkara yakni parti pembangkang mampu menjatuhkan parti pemerintah sesebuah negara itu. Jika tidak silap pembacaan saya, inilah kali kedua LDP dijatuhkan sejak tahun 1955. Kemenangan DPJ ini penting saya sorotkan di sini kerana secara tidak langsung ada beberapa isu yang hampir serupa antara Malaysia dan Jepun.

Isu rasuah terutama pembaziran kerajaan Jepun dalam pemberian tender kerajaan untuk melaksanakan projek kerajaan, kegagalan tindakan kerajaan Jepun untuk memulihkan semula ekonomi negara tersebut dan perubahan sikap pengundi terutama golongan muda yang mungkin sudah bosan dengan keadaan negara yang tidak banyak berubah.

Kemenangan DPJ memang mengejutkan kerana jumlah kerusi yang mereka menang begitu banyak berbanding dengan LDP. Sememangnya LDP dijangka akan menghadapi masalah dalam pilihanraya itu tetapi kejayaan teruk mereka begitu mengejutkan masyarakat terutama pemerhati politik antarabangsa. Namun, kesediaan Perdana Menteri Taro Aso sesuatu yang menarik untuk diperhatikan juga kerana sukar mencari pemimpin di Malaysia yang sudi mengakui kesilapannya lalu mengambil keputusan untuk meletak jawatan jika berlaku sesuatu yang melibatkan tugas mereka.

Jadi, bagaimana pula dengan keadaan di negara ini yang pada umumnya masalah rasuah, kegawatan ekonomi, pengangguran dan kemunculan golongan muda yang mula faham akan kepentingan undi mereka dalam penentuan politik negara. Semua masalah ini masih lagi menghantui negara ini tanpa ada sebarang usaha yang konkrit dilakukan untuk menyelesaikannya. Hanya janji demi janji untuk menyelesaikannya sahaja yang kedengaran tetapi kemudian hilang ditelan masa begitu sahaja.

Mungkin pengundi negara ini perlu berubah atau ahli politik harus melihat diri mereka semula dengan lebih mendalam kerana jika tidak perubahan angin yang melanda politik negara matahri terbit itu akan membadai negara ini jua.

Sunday, August 23, 2009


Masyarakat Kita Utamakan Segulung Ijazah…

Saya membaca laporan akhbar semalam tentang kewujudan pelbagai universiti yang menawarkan pemilikan ijazah secara mudah atau tidak sah di negara ini. Laporan itu mengaitkan beberapa buah universiti yang menggunakan internet, tokoh politik dan kelemahan dalam sistem perundangan negara untuk mengautkan keuntungan dengan seolah-olah menjual ijazah mereka itu. Lantas saya melihat persoalan ini daripada sudut punca yang membawa kemunculan pelbagai universiti nyamuk ini?

Sikap masyarakat kita memang sejak dahulu mengutamakan kejayaan seseorang berlandaskan segulung ijazah. Penelitian mereka lebih ke arah sama ada seseorang itu sudah menamatkan pengajiannya di universiti atau tidak? Jika tidak orang itu lantas dilabel sebagai tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk memegang atau menjawat sesuatu jawatan tersebut. Masyarakat kita tertalu taksub dengan ijazah. Lihat sahaja sistem pendidikan kita yang mengutamakan pelajar mendapat 20 A sahaja tanpa menghiraukan kreativiti dan pengalaman hidup.

Pernah sekali saya mendapati seorang rakan saya yang sudah lama bekerja di sebuah pusat pengajian tinggi dan menulis beberapa buku serta dijemput untuk memberi input dalam seminar dalam serta luar negeri tidak diberikan jawatan dekan semata-mata atas alasan dirinya tidak mempunyai PhD. Sebaliknya seorang calon lain yang baru sahaja menamatkan PhDnya dilantik sedangkan dia belum menulis sebarang buku pun apatah lagi menpunyai pengalaman mengurus yang banyak. Alasannya ialah seorang ada PhD dan seorang lagi tidak mempunyai PhD.

Keadaan inilah yang menyebabkan masyarakat kita berlumba-lumba untuk memiliki ijazah dengan harapan sebaik sahaja memilikinya peluang mereka untuk memajukan diri dalam kerjaya mereka akan menjadi lebih pantas lagi. Pemiliki ijazah bukan sebagai tanda mereka bersetuju atau sayang akan ilmu tetapi lebih ke arah sikap untuk menggunakan nama ijazah itu untuk melariskan diri mereka dalam dunia kerjaya yang penuh persaingan itu. Situasi inilah yang telah digunakan oleh universiti-universiti nyamuk ini untuk mengaut keuntungan dengan menawarkan kursus yang bukan sahaja unik tetapi mampu memenuhi keperluan perasaan mereka itu tadi.

Pihak kementerian yang terbabit juga agak perlahan dalam membuat tindakan susulan. Mereka seharusnya lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah ini dengan memikirkan semua kemungkinan yang boleh dilakukan oleh universiti nyamuk ini dengan baik. Jika bangunan mereka diserbu dan kemudiannya nama universiti ditukar, pihak kementerian harus mencari jalan lain untuk menangani sikap “bijak” mereka ini. Kita harus lebih ke hadapan daripada universiti nyamuk ini jika kita tidak mahu lebih banyak mangsa-mangsa sindiket ini mengalaminya.

Kadangkala kita harus sedar ijazah memang penting tetapi kemahiran dan pengalaman serta sikap seseorang itu turut memainkan peranan juga. Jika memiliki ijazah tetapi tidak mampu berfikir dan membuat sesuatu daripada sudut yang berbeza lalu membawa perubahan, bukankah itu sesuatu yang membazir?