
MAJUKAN INDUSTRI TERJEMAHAN SEKARANG
Jadi, kerajaan sudah membuat keputusan bahawa aspek penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek di atas telah dimansuhkan. Saya bukannya mahu memberi komen terhadap tindakan kerajaan itu kerana sudah pasti komen saya ini tidak akan memberi kesan sedangkan Dr.M sendiri memberikan pandangan peribadinya yang jelas memaparkan rasa kecewanya akan tindakan kerajaan ini. Perkara yang hendak saya utarakan ialah tindakan yang wajar diambil oleh kerana dalam usaha memastikan usaha mereka memansuhkan BI dalam pengajaran kedua-dua subjek itu supaya kurang impak negatifnya.
Satu hujah yang sering dikemukakan oleh pihak yang menyokong pemansuhan penggunaan BI dalam aspek pendidikan ini ialah ada negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Perancis yang berjaya dalam sains dan teknologi kerana mereka menggunakan bahasa ibunda mereka. Hujah ini sering diketengahkan tanpa mereka melihat ada banyak aspek lain yang negara ini tidak miliki selain persamaan aspek penekanan bahasa ibunda itu.
Paling ketara ialah industri penerbitan di negara ini masih kecil berbanding dengan semua negara yang dijadikan sebagai contoh dalam hujah itu tadi. Saya yakin industri penerbitan di negara ini dalam setahun belum lagi mampu untuk menghasilkan lebih daripada 1000 tajuk yang berbeza. (saya tidak menemukan data kajian yang sewajarnya) Keadaan ini memberi satu petanda bahawa budaya membaca masih lemah dalam kalangan masyarakat kita lantas keupayaan untuk menguasai sesuatu bidang ilmu itu agak rendah. Lantaran itu, kemampuan masyarakat ini untuk mengetahui maklumat terbaru tentang teknologi dan sains akan menjadi terbatas kerana bukan sahaja kekurangan buku tetapi ketiadaan sikap untuk mendapatkan buku tersebut.
Kerajaan harus memberi perhatian kepada industri penerbitan di negara ini. Satu langkah awal ialah kerajaan perlu memberi lebih banyak peluang untuk syarikat-syarikat di negara ini membuat terjemahan semua bahan penting baik dalam aspek teknologi mahupun sebarang bidang ilmu lain. Peluang ini boleh diwujudkan dengan mewujudkan satu program mendapatkan hak cipta semua buku-buku penting yang difikirkan sesuai untuk diterjemahkan. Buku-buku ini kemudiannya diusulkan kepada mana-mana syarikat yang mampu untuk menerbitkannya dalam harga yang lebih murah berbanding harga pasaran buku itu dalam bahasa asalnya.
Semua perkara terutama peralatan yang berkaitan dengan pencetakan dan penerbitan hendaklah ditawarkan pada harga yang berpatutan selain memberi lebih banyak kelonggaran untuk mana-mana pihak menerbitkan bahan penerbitan yang berunsur ilmu pengetahuan. Tindakan ini sekurang-kurangnya mampu untuk memberi satu medan yang sesuai buat industri penerbitan ini memulakan tapak dan seterusnya berkembang dengan baik.
Tindakan mengaktifkan industri penerbitan mampu mengurangkan kesan buruk yang timbul ekoran tindakan kerajaan memansuhkan penggunaan BI itu. Banyakkan bahan buku dalam bentuk terjemahan dengan harapan kegagalan masyarakat generasi muda untuk memahami bahasa asing ini dapat dikurangkan dengan kemampuan untuk membaca bahan ilmu dalam bahasa ibunda mereka pula. Semakin banyak buku yang diterjemahkan maka semakin baiklah buat negara. Perancis, Jepun dan Korea Selatan mempunyai industri buku terutama terjemahan yang sangat luas. Kalau kita gunakan hujah negara-negara ini maju kerana penggunaan bahasa ibundanya maka sudah pasti kita juga harus bersetuju bahawa industri penerbitan terutama terjemahan perlu dimajukan.
Jadi, adakah kerajaan sanggup memberi ruang kepada industri penerbitan untuk berkembang di negara ini?
E-Buku 10 Skop Karangan SPM 2009...E-Buku Terbaru Saya
-
E-Buku terbaru saya ini mampu memberikan pelajar satu kelebihan dalam
persiapan akhir mereka sebelum memasuki dewan peperiksaan.
Semua skop ini dibuat sel...
6 days ago
0 comments:
Post a Comment